Ramadhan, ia menjanjikan pelbagai keistimewaan dan tawaran.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Semboyan sedang bergema. Suasananya kian terasa.
Saya benar-benar teruja sepenuh hati akan kehangatan Ramadhan tahun ini. Sungguh!
Menanti oasis yang menyejukan jiwa.
Menghilangkan dahaga.
Dan, memberikan kebahagian dan ketenangan sanubari.
Bagi saya, Ramadhan juga umpama oasis. Di saat, melalui kehidupan yang meletihkan dan memenatkan. Ramadhan akan merehatkan jiwa dengan siraman air yang dingin. Kering tekak yang sangat dahagakan air akan hilang dengan tegukan air Ramadhan yang sejuk.
Sesejuk salju putih.
Terbayangkan keindahan, kenikmatan dan keasyikannya.
Kedamaiannya, kebahagiaannya dan suasananya yang lain dari yang lain.
Terasa sangat. Anda bagaimana?
Sedarkah kita ?
Ia benar-benar menghampiri kita. Sedarkah kalian?
Semalam, ketika sesi membaca Al-Quran dengan seorang Ustaz di tempat saya berkerja ( KTD menyediakan seorang Ustaz al-Hafiz untuk kami memperbaiki dan memperhalusi lagi bacaan Al-Quran. Setiap Isnin, Selasa dan Rabu – Bermula sekitar jam 10 pagi sehingga 12 tengahari ia sesi untuk membaca Al-Quran bagi yang terluang.) – beliau telah memberikan satu kata-kata yang membangkitkan jiwa saya.
“ Kalau hendak fasih Al-Quran, anta kena memperbanyakan bacaan Al-Quran. Nanti sudah di Bulan Ramadhan, anta kena selalu dan sentiasa baca Al-Quran.”
“ Hidupkan hati dengan Al-Quran, InsyaAllah. Lama kelamaan, lidah anta serasi dan fasih dengan kalimah-kalimah Al-Quran,” Katanya lagi.
Teruja sekali. Mendapat suatu sarana daripada seorang Ustaz. Saya benar-benar sukakan nasihat sedemikian. Ramadhan, ia memanggil-manggil saya.
Sebelah petangnya pula, saya menghadiri mesyuarat pengurusan dan majlis itu dimulakan dengan sesi Tazkirah oleh Ketua Eksekutif kami, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman. Tazkirah menjadi suatu kewajipan dalam setiap pertemuan, perjumpaan dan mesyuarat di kolej saya. Alhamdulillah, ia adalah suatu permulaan yang sangat baik untuk kami sebelum memulakan apa-apa perbincangan dan sebagainya.
Dan, tazkirah yang disampaikan oleh Dr Abdullah sangat sesuai dan harmoni dengan jiwa saya saat ini. Ia menyentuh soal – “ Persiapan dan persediaan Ramadhan!.” Tips-tips yang diberikan oleh beliau, saya catat dengan penuh sukacita. Gembira! – Ada peringatan yang sangat bermakna.
Ramadhan, ia melambai-lambai penuh keasyikan kepada hati saya. Saya semakin teruja untuk mejejakinya.
Sebelah malamnya pula, saya bersama-sama adik-adik PESAT (Program Sahsiah Terpuji) yang saya kendalikan setiap minggu. Saya begitu seronok melihat wajah-wajah mereka yang sentiasa bersemangat dan memberikan komitmen yang tinggi untuk bersama-sama menghidupkan majlis-majlis ilmu kami. Saya telah berkongsi kepada mereka berkaitan mindsetting perjalanan program PESAT minggu ini dan – dengan kesempatan itu – saya berbicara soal Ramadhan dan kesediaan kita melaluinya.
“ Antum sedar atau tidak, Ramadhan hanya tinggal lebih kurang 2 minggu sahaja lagi,” Saya memulakan bicara.
“ Tanya jiwa dan hati masing-masing. Adakah kita semua bersedia untuk melalui Ramadhan ini dengan penuh keimanan, ketaqwaan, keindahan, kebahagiaan dan kegembiraan?,” Soalan itu terus menerus berlegar-legar di minda saya sebelum dilontarkan kepada adik-adik PESAT saya.
Ramadhan, jiwa saya kian merinduinya.
“ Marilah sama-sama kita meletakan keazaman dan tekad bahawa Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terbaik dalam sepanjang sejarah kehidupan kita,” Saya mengajak mereka untuk meletakan mindsetting yang jelas berkaitan Ramadhan. Bukan untuk mereka sahaja, tetapi buat diri ini juga.
Perkara yang TERPENTING
“ Ada suatu perkara yang sangat penting yang mesti kita lakukan sebelum memasuki Ramadhan,” Ujar saya.
Semua mata-mata tertumpu padu kepada saya.
Perkara ini sangat-sangat penting, bahkan ramai di kalangan kita mengabaikannya sebelum memasuki Ramadhan.
“ Sebelum melangkah pada 1 Ramadhan, kita harus memperbaharui dan memperbanyakan taubat kita kepada Allah SWT. Ia sangat-sangat penting!,” Saya melanjutkan bicara.
T A U B A T
Ya. Taubat.
Memohon keampunan, kemaafan dan rayuan belas ihsan kepada Allah SWT terhadap segala kesalahan, kesilapan, dosa-dosa-dosa, maksiat-maksiat-maksiat dan noda-noda-noda yang kita lakukan sebelum ini.
Tanyakan kepada jiwa kita secara jujur. Betapa hitam, kotor, jijik dan lukanya hati kita. Bintik-bintik hitam yang memenuhi permukaan hati kita yang kian pekat kehitamannya.
Semuanya, kesan daripada dosa-dosa-dosa yang kita lazimi.
Semuanya, berpuncanya daripada noda-noda-noda yang kita sukai.
Semuanya, bersumber daripada maksiat-maksiat-maksiat yang kita cintai.
Hati kotor, hitam dan jijik – tidak akan merasai kemanisan serta keindahan Ramadhan. Malang sungguh, bagi mereka-mereka yang melalui Ramadhan, tetapi tidak merasai apa-apa.
Inilah persediaan yang paling UTAMA untuk menjejaki Ramadhan. Kita bagaimana?
Jika inilah yang kita lakukan untuk bersiap siaga menghadapi Ramadhan, saya benar-benar yakin kita akan bersemangat untuk memasuki Ramadhan.
Terasa akan sesuatu booster yang menolak kita untuk bergerak melakukan sesuatu untuk Ramadhan.
Bahkan, diri kita terasa ringan untuk melakukan segala kebaikan untuk mempertingkatkan diri.
Kelebihan-kelebihan Ramadhan
Bagi membangkitkan lagi perasaan kita untuk bersiap siaga untuk menghadapi Ramadhan, marilah sama-sama kita semak ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang membicarakan tentang kelebihan Ramadhan. Mudahan-mudahan kita terus bersemangat untuk Ramadhan! Moga-moga kita terasa ringan untuk warming up untuk mengejar piala taqwa.
Pertama : Ramadhan, ia Bulan Al-Quran
Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia. Firman Allah SWT :
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
(Surah Al-Baqarah 2 : 185)
Inilah intipati dan agenda utama di dalam Bulan Ramadhan. Kita harus mendekati, berdampingan dan hampir dengan Al-Quran. Sepanjang masa dengan Al-Quran. Seorang sahabat saya yang dahulunya belajar di timur tengah menceritakan pengalaman ketika berada di bulan Ramadhan di sana. Katanya :
“ Suasana Ramadhan dengan Al-Quran benar-benar hidup di sana. Bayangkan, di dalam bas semua orang sibuk menatap, membaca dan memegang Al-Quran. Suasana yang sangat menyentuh hati!.”
Bayangkan!
Kedua : Ramadhan, bulan Syaitan dibelenggu
Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.
( Hadis diriwayatkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi)
Syaitan, diikat, terhalang untuk melakukan kerja-kerjanya yang asasi. Saat itu, kita hanya bertarung dengan tuntutan dan tarikan hawa nafsu. Jika berjaya, kita akan menjadi insan mulia. Namun, jika kalah dalam bertarung dengan nafsu, kita adalah manusia yang tercela!
Ketiga : Ramadhan, Bulan pengampunan dosa-dosa-doa
Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : “ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.”
( Diriwayat oleh Imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)
Segala-gala dosa diampuni? MasyaAllah. Luar biasa tawaran dan offer ini. Tiada dimana-mana super market, gedung-gedung membeli belah dan pasar raya yang super hebat.
Syaratnya : penuh keimanan dan keikhlasan. Anda bagaimana? Tidakah ini suatu yang harus direbut peluangnya.
Keempat : Ramadhan, Bulan penebus dosa –dosa -dosa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.”
(Hadis riwayat Muslim)
Banyaknya dosa-dosa kita. Sehingga, Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang sentiasa memberikankan peluang dan membuka peluang untuk menghapuskan dosa-dosa kita. Terasa kerdilnya diri ini.
Teman-teman sekalian, lihat dan tanyakan kepada diri kalian?
Wahai diri, butakah kita akan hakikat semua ini?
Kelima : Ramadhan, Bulan Intensif Latihan Kesabaran
Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : “Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga.”
(Shahih Ibnu Khuzaimah)
(Shahih Ibnu Khuzaimah)
Ketahuilah bahawa kesabaran itu pula ganjaran pahala tanpa perhitungan. Firman SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”
( Surah Az-Zumar : 10)
Sabar – kalimah yang mudah meniti dibibir tetapi sukar terbit dalam keperibadian diri. Ramai orang suka berbicara tentang sabar, tetapi tidak ramai yang mampu bersabar dalam kesabaran. Kerana itu, latihannya harus intensif dan perlukan suasana yang khusus. Allah SWT, Sang Maha Pencipta menyediakan Ramadhan sebagai jalannya.
Ayuh, kita pupuk kesabaran di bulan yang mulia ini.
Penutup : Kibarkan semangat, agar ruh terus tertingkat!
Ayuh, gerakan panji-panji kita menuju ke lembah oasis yang menenangkan. Ia akan menghilangkan segala dahaga yang
memenatkan dan meletihkan.
Nantikan ketibaannya. Nantikan dengan jiwa yang bersedia!
© Langitilahi.com
Moga Ramadhan kali ini membuahkan ketakwaan dalam diri kita,amin
BalasHapusAllohuma aamiin,... Insya'alloh
BalasHapusjazakallohu khoiron katshir atas silaturohminya
salam ukhuwah fillah