Kamis

*** TAMAN CINTA,....***

Bismillahir-Rahmanir-Rahim


Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada TuhanMu dalam keadaan redha dan diredhai. Masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke SyurgaKu (Surah Al Fajr ayat 27-30) 







Ya Allah, Tuhan Yang Maha Melindungi,
Jauhkan aku dari tipu daya syaitan
yang menyesatkan dengan kebimbangan tentang dunia


Jauhkan aku daripada hati yang ter
  oleh rindu yang bukan pada miliknya


Jauhkan aku daripada manusia memperdaya
dengan janji yang tidak pasti kebenarannya


Bilakah akan tiba
Waktu kerehatan yang aku rindu
Kerana aku lelah
Diperdaya kesesatan dunia


Dan beberapa hari aku dalam pelarian, menyelamatkan cinta yang ingin kupertahankan, akhirnya tiba jua aku di destinasi sebenar. Subhanallah....!! aku terduduk kekaguman. Di hadapanku adalah Taman Cinta yang amat indah. Bunga-bunga ketaatan menyambutku. Bayu hikmah membelai tubuh yang lesu, lalu membersihkan diri dari lelah diduga dunia. Dan tatkala aku menghirup segar dari sumur keampunan, jiwaku terasa bersih dan bertenaga. Aku berdiri apabila mendengar bisikan indah suatu janji, bahawa hidupku ini tidak lama dan pastinya tempat kekal aku di syurga jika aku bersabar dan bertakwa.

Indahnya Taman Cinta, sememangnya tak terucap dengan bicara dan tak tergambar dengan fikiran. Sementara aku sedang tercari-cari tempat berlindung dari segala yang menekan perjalanan hidupku. Di sini aku sudah tidak bimbang akan masalah dunia dan aku sudah tidak peduli akan manusia yang tidak memahami. Di sini, hanya aku dengan Khaliqku, di mana Dia mengurniakan perasaan qana'ah agar aku tidak berharap pada fana dunia, Dia mengurniakan hikmah agar aku bersabar dengan dugaanNya, dan Dia mengurniakan takdir yang terbaik agar aku Redha akan ketetapanNya.

Di Taman Cinta, hatiku bersemi mawar cinta yang mengagungkan Cinta Pencipta. Dengan siraman iman, tumbuh segar memutikkan amal soleh. Dibajai takwa, mekar mawar mengharum harapan hanya pada takdirNya yang terindah. Cinta kepada Allah. Cinta kerana Allah.



Di Taman Cinta, aku mengenal Allah melalui Kalam dan Zikrullah. Rasa berdosa memacu aku meninggalkan dunia lalu menyusuri jalan taubat. Aku mengenal Allah, KebesaranNya menundukkan hati Redha akan takdirNya. Kasih SayangNya memujuk diri sabar dengan kepedihan dunia. Maha Suci Allah yang melindungi diri dari kembali ke jalan duka.


Di Taman Cinta, aku menyusun segala peluang yang ada. Masa hidupku kuisi dengan segala yang mendekatkan aku padaNya. Siangnya aku menyusuri jalan ketetapan, mencari hakikat penciptaan yang menyubur pengabdian. Malam ku bersimpuh rindu, mengadu cinta dan mengharap keampunan.


Di Taman Cinta, aku terus menghirup segar CintaNya, yang menghidupkan iman di hati. Kuyakini kini, biarpun tiada teman hidup di sisi, namun aku tidak sunyi kerana Redha Allah menemani.


“Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri ” (Surah Al-Isra’ ayat 13-14)

“Setiap orang dari kalian pasti diajak bicara Tuhan-Nya, tanpa penterjemah antara dirinya dengan-Nya” (Hadith muttafaq alaih)


Duhai Pemegang hati,
Yang menciptakan indah taman ini

Diseri bunga Cinta
Dipuput bayu Redha
Dihias hijau takwa
menyentuh rangkai raga
Ditemani riang ketaatan
Dihujani ikhlas pengabdian.


Duhai Yang mengurniakan Cinta
Bangkit diri penuh kesyukuran
Bersujud diri mengendong keinsafan

Demi kekal cinta di hati
Dan manis iman dalam diri
Tiada kucari selain Yang Agung menemani

Duhai yang Menjaga taman hati
Bahagia cintaku di taman sebenar indah
Yang tiada dapat dilihat dengan pandangan
Yang tiada dapat berbisik dengan pendengaran
Yang tiada dapat diungkap dengan kata-kata
Yang tiada dapat ditafsir dengan tulis bahasa


Duhai Cinta Yang sebenar Cinta
Hidup hati di bawah lembayung Hidayah-Mu
Subur hati dengan siraman Kalam-Mu
Tumbuh mekar jiwa yang takwa kepada-Mu.


Di saat ini, aku tiba di hadapan gerbang tarbiyyah, gerbang yang menyambut kehadiranku di Taman Cinta. Dan di saat aku menjejakkan kaki ke taman ini, kurafa'kan syukur ke Hadirat Yang Esa. Kerana aku yakin di taman ini, aku kini terselamat dari hambatan dunia...

Alkhamdulillahirobbil'alamiin
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



~yang merindu setitis kasih-MU => bening embun pagi ~



Tidak ada komentar:

Posting Komentar

" resent post "