Sabtu

semoga kita bisa menjaga diri ini baik - baik



بسم الله الرحمن الرحيم
Sahabatku yang dikasihi..

Dunia ini semakin tua usianya dan semakin dekat menuju kepada saat kehancuran. Dan keadaan kebanyakkan hati manusia di dalamnya semakin jauh dari Allah Subhanahu wata'ala dan syariat agama. Kemungkaran dan dosa maksiat semakin berleluasa di mana-mana sahaja sehingga membuat segelintir daripada kita gelisah dan resah. Kehidupan perlu diteruskan sekalipun sukar dan susah. Ia diibaratkan berjalan di atas jalan yang penuh dengan duri, harus berhati-hati jangan sampai terkena duri dan mencederakan kaki.

Ingatlah wahai sahabat, jalankanlah kehidupan ini dengan penuh ketaatan kepada perintah Allah Subhanahu wata'ala dan jauhi segala apa yang dilarang~Nya. Pasti apa yang kalian kerjakan di dunia ini akan dipersoalkan kelak baik ia merupakan kebaikan atau disebaliknya. Allah Subhanahu wata'ala berfirman, "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) [ QS Az-Zalzalah : 7 & 8 ]

Jadi tujuan kita diciptakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan hidup di dunia ini adalah dalam rangka mengabdi kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Allah Ta’ala sudah menjelaskan di dalam Al Qur’an apa yang menjadi tujuan kita hidup di muka bumi ini. Allah Ta’ala berfirman, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” [ QS. Adz Dzariyat: 56 ]

Wahai sahabat, didiklah diri kalian dengan menjalani kehidupan ini penuh dengan kebaikan yang berlandas kepada syariat yang dibawa oleh Baginda Rasulullah sholallaohu alaihi wa sallam. Apabila kalian melakukan dosa, jangan berpatah harapan dari kembali pada~Nya, hanya kerana kepahitan ujian dan dosa. Kasih sayang~Nya mengatasi Kemurkaan~Nya, demikian diungkap dalam suatu Hadis Qudsi. Apabila kalian berbuat dosa, maka itu jangan menjadi alasan keputusasaanmu dalam menggapai istiqamah dengan Allah Subhanahu wata'ala, kerana bisa jadi itu adalah dosa terakhir yang ditakdirkan bagimu.

Berpegang teguhlah kepada Allah Subhanahu wata'ala dan Rasul~Nya dan jangan sesekali kalian berputus asa dan lari dari~Nya. Sandarkan pada Allah yang Maha Mengatur dan Menentukan. Keyakinan hanya hadir apabila kita akui kelemahan dan kehambaan kita di hadapan-Nya. Tiada suatu nafas berhembus darimu melainkan di situ takdir Tuhan berlaku padamu.

Pangkal segala maksiat, kelalaian, dan syahwat adalah pengumbaran nafsu. Dan pangkal segala ketaatan, kewaspadaan, dan kebajikan adalah pengekangan nafsu. Bersahabat dengan orang bodoh yang tidak memperturutkan hawa nafsunya lebih baik bagimu daripada bersahabat dengan orang pintar yang memperturutkan hawa nafsunya. Kepintaran apa lagi yang disandangkan pada orang pintar yang selalu memperturutkan hawa nafsunya? Dan kebodohan apalagi yang dapat disandangkan pada orang bodoh yang tidak memperturutkan hawa nafsunya?

Ingatlah wahai sahabat yang dikasihi, amal yang berasal dari hati penuh keikhlasan tidak dapat dianggap sedikit, dan amal yang berasal dari hati penuh ketamakan tidak dapat dianggap banyak. Jika engkau tahu bahawa syaitan tidak pernah lupa kepadamu, maka janganlah lupa kepada Allah yang menguasaimu. Moga Allah meredhai sahabat semua dalam perjalanan jalan menuju~Nya.

Ya Allah, jadikan usaha kami sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa kami sebagai dosa yang diampuni, kebaikan kami sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban kami sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar.

Ya Allah, kami bermohon kepada~Mu perkara yang mendatangkan keredaan~Mu. Kami berlindung dengan~Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan~Mu dan kami bermohon kepada~Mu kemampuan untuk mentaati~Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap~Mu, wahai pemberi kepada yang meminta...amin.
Penuhilah hatimu dengan rasa cinta kepada saudara-saudaramu,
nescaya kekurangan (dirimu) akan tertutupi dan derajatmu
akan meningkat di sisi Allah Subhanahu wata'ala
~ Habib Umar Hafidz ~


Tidak ada komentar:

Posting Komentar

" resent post "